SATU HATI


Bismillahirrahmanirrahim




Bilakah lagi kita semua satu hati, 
Bilakah lagi keamanan kan dikecapi,
Bilakah lagi Islam kan dijulang tinggi,
Bangunlah wahai ummah kita satu hati.

Marilah bersama bersatu berjihad
menentang kezaliman,
Oh insan sedarlah,
Pembalasan Tuhan pasti akan datang.

Jangan takut,
Jangan takut berjuanglah untuk keamanan.



Minggu Penghayatan Mahasiswa



سْـــــــــــــــــمِ اﷲِارَّحْمَنِ ارَّحِم


Subhanallah!!! Alhamdulillah!!! Allahuakbar!!!
Seminggu di bumi itu cukup memberi kesan kepada jiwa saya.
Jiwa rohani yang merindui biah islamik, biah solehah.
MashaAllah, tidak pernah tergambar dek akal akan suasana tarbiyah yang mampu menyentuh atma.
Atma yang paling dalam kini disentuh dengan sentuhan tarbiyah selama 5 hari itu.


24 Jun 2013, tarikh dimana saya menjejakkan kaki dibumi KUISAS( kolej universiti sultan azlan shah) untuk mendaftar ditemani mak dan abah. Setelah semua prosedur pendaftaran sudah saya tempuh disamping mendapat satu beg yang cantik seperti beg laptop, sepasang baju dan tudung, saya bergegas ke kawasan asrama untuk menerjah masuk ke bilik yang ditetapkan.

Kedudukan bilik yang sangat strategik membuatkan hati semakin gembira dan semangat untuk belajar membuak-buak. Ditemani 3 ahli bilik yang pendiam dan sopan daripada jurusan yang berlainan setiap seorangnya. Saya sahaja yang agak riuh dan bertanggugjawab memecah tawa antara kami setakat ini.

Orientasi yang membawa kami semua mahasiswa baru menyelusuri kehidupan di kampus yang tidak selamanya indah jika bukan bertunjangkan islam hidupnya. Biah solehah yang ditonjolkan akhi ukhti pada kami sudah cukup membahagiakan kami dan menjadi tiket kepada kami untuk terus melalui jalan ini sehingga keakhirnya.




Akhi ukhti dekat sini semua baik-baik. Aurat dijaga dengan sempurna. Ikhtilat juga begitu. Ukhwah islamiyyah sesama akhi-akhi dan ukhti-ukhti telah membuatkan deraian air mata saya berguguran laju seperti air hujan.

Peristiwa malam itu, hebatnya ukhti akhi semua belakon. Watak antum memang tersangat hidup. Real. Malam dimana antum telah membuatkan saya benar-benar rindukan maksud ukhwah yang sebenar. 

Kononnya ada diantara kami mahasiswa baru telah hilang, lalu presiden turun padang menandakan kes itu tersangat besar dan rumit. Ye la sudah pukul 1 pagi, bolehkah jumpa sekalipun dicari. InsyaAllah dengan pertolongan Allah, tiada yang mustahil.

Ya Allah, tatkala presiden sedang berang dan akhi unit disiplin melutut,dimarahi dikhalayak ramai, disatu sudut yang lain, hadir akhi-akhi yang lain dan mahasiswa-mahasiswa turut membantu daripada membiarkan akhi unit disiplin melutut. 

Ya Allah, mereka semua bukan siapa-siapa bagi ku, tetapi sangat bersyukur padaMu kerana memberi kesempatan kepadaku merasai hidupnya gimik itu sehingga membuatkan hatiku cukup tersentuh. 

Banyak ibrah yang saya dapat pada malam itu. Rupa-rupanya, presiden, mpp, fasilitator semuanya berpakat untuk membuat kejutan kepada mahasiswa baru yang lahir pada bulan 6 pada minggu itu. Sungguh terharunya hati ini. Walau bukan saya yang diraikan tetapi hati ini sungguh tersentuh.


Nilai ukhwah islamiyyah antara antum cukup membuat saya belajar menghargai sahabat-sahabat saya. Cukup mentarbiyah diri saya untuk berlaku ehsan dan sentiasa menunaikan rukun-rukun atau peringkat  ukhwah. Sentiasa berlapang dada,sama rata dan seterusnya sanggup melebihkan sahabat berbanding diri sendiri dalam segala hal.

Seperti kebiasaannya, kami hanya akan dilepaskan ke asrama pada jam 1.30 pagi selepas roll call dan program akan berlansung seawal 4.30 pagi. Itulah kebiasaannya. Tetapi pada malam 'air mata' itu, ramai diantara muslimat yang bersengkang mata tidak tidur. Dasyat.Tidak termasuk saya.

Di sini juga saya ditarbiyah untuk menutup aurat dengan sempurna. Sungguh bukan setakat sehelai rambut perlu dijaga daripada pandangan ajnabi, malah lengan dan kaki juga adalah aurat sebagai seorang muslimah.

Kata-kata akhi Man Ana(Aizuddin), muslimat ini tempatnya hanya dibawah kaki muslimin sahaja. Terlalu hina. Tetapi dengan kehadiran Islam, martabat maruah muslimat itu diangkat keatas bahu muslimin.



Wahai sahabat-sahabat muslimatku, tidakkah kalian malu dengan rasullullah. Tidakkah kalian yang 
mendedahkan aurat, menjaja maruah rasa malu? Bersyukur dan berterima kasih kepada baginda yang mulia. Yang telah bermati-matian menjulang Islam dan telah menaikkan darjat maruah kalian.

Beruntungnya kita dilahirkan sebagai seorang muslimat. Rasulullah sangat kasih kepada kita. Diakhir kewafatan, baginda masih mengingati kita wahai hawa. Dan kita adalah golongan yang senang dan mudah  masuk ke syurga Ilahi tetapi golongan kita juga yang paling ramai mengemari untuk berhimpun di neraka jahannam.

Sangat sadis pada masa kini, ramai diantara kita yang bangga mendedahkan aurat,maruah,perhiasan diri. Segala-galanya kerana manusia. Hawa nafsu menguasai akal. Tidakkah kita malu apabila kaum muslimin mengungkapkan "aku geli tengok perempuan bertudung pendek".

Mari sama-sama kita tarbiyah diri menjadi serikandi Islam yang benar-benar sayang dan cintakan Islam. Jangan tunggu malaikat Izrail menjemput baru kita tersedar. Nauzubillahi min zalik.

Ikhtilat juga harus dijaga. Jangan jadikan sesuatu organisasi atau tugasan itu sebagai asbab untuk kita sering berurusan dengan ajnabi. Jika mampu, elakkanlah. Cukuplah hanya sekadar urusan yang tersangat sangat sangat penting. Nampak tidak betapa Islam menekankan soal ikhtilat. 

Mungkin dahulu kita bukanlah orang-orang yang tawadduk, yang menekankan soal ikhtilat. Dahulu kita mungkin seorang yang 'sporting''cool''open minded' sesama ajnabi, tapi adakah kita dengan sifat-sifat itu untuk Islam atau sekadar mengikut nafsu? Tepuk dada tanya iman.

Cukuplah seminggu kuisas menyeru saya menghayati tarbiyah disitu. Saya benar-benar sudah jatuh cinta dengan tempat itu terutama masjidnya yang sentiasa menghidangkan santapan rohani yang lazat-lazat. 

Banyak ibrah yang saya benar-benar hayati seminggu disitu.Betapa wala'nya ukhti akhi kepada pemimpin(presiden). Betapa ikhtilat itu penting di bumi islamik itu. Betapa sempurnanya mereka menjaga aurat dari pandangan yang tidak layak. Betapa sejuknya mata saya melihat biah solehah di bumi itu.



Semoga Allah redha saya di bumi KUISAS ini. Semoga Allah redha dengan setiap apa yang saya laku dan kerjakan. Itulah matlamat hidup saya sejak saya melangkah di bumi itu. Siapalah orang yang berjaya cemerlang tanpa redha Allah.

Mari bersama-sama kita meraih mardhotillah. 
Allahumma Ameen.

والله اعلم

MAKAN MINUM SAMBIL BERDIRI



سْـــــــــــــــــمِ اﷲِارَّحْمَنِ ارَّحِم


Pada suatu waktu rehat,

Zaim : Assalamualaikum ustaz. Saya nak tanya ni?
Ustaz: Wa'alaikumussalam. Oh kamu Zaim, awat yang lari macam nampak hantu ni. Kan dah termengah-mengah. Bertenang.Tarik nafas. Hembus.(zaim menuruti). Kamu nak tanya apa?

Zaim : Mahunya saya tak kalut ustaz, waktu rehat dah nak habis, lepas ni kelas fizik(wajib punctual),saya takut saya lupa nak tanya, dah sebulan saya pekasamkan soalan ni.
Ustaz: Dasyatnya kamu ni. Hah, apa soalannya, tanyalah ustaz. Hehehe(gelak   sporting)

Zaim : Saya nak tahu, salahke makan dan minum sambil berdiri. Ye la, waktu rehat dah la 20 minit je, kene masok kelas tepat pada masa, tapi kami dilepaskan rehat lambat. Kadang-kadang tu rehat tinggal 10 minit je, nak jalan ke kantin, koop dah 5 minit, mana sempat ustaz. Nak makan dalam kelas tak boleh.
Ustaz: Amboi besarnya masalah kamu, panjang menjelar. Ni nak tanya soalan ke nak mai mengadu kat saya. Haha. Siap protes tak boleh makan dalam kelas. Tapi bukan kamu yang kantoi makan dalam kelas saya semalam.hehe

Zaim : -,-'(mati akal). Sekali sekala ustaz.
Ustaz: Ye la kamu. Nasib saya tak strict sangat.haha. Ok la, jawapan kepada soalan kamu tadi. Minum sambil berdiri hukumnya makruh, tidak haram.

Zaim : Oh. Tapi bukankah dalam Sahih Muslim Nabi melarangnya?
Ustaz: Ya benar. Akan tetapi, dalam Sahih al-Bukhari, dan selainnya ada hadis-hadis sahih yang menyatakan bahawa Nabi melakukannya. Maka hadis-hadis larangan menunjukkan hukum makruh tanzih, dan hadis-hadis perbuatan nabi menunjukkan tidak haram.

Zaim : Oh begitu. Makruh tanzih tu apa ustaz? hehe
Ustaz: Dalam bahasa mudahnya kita kata mutlak. Kemutlakan yang tidak terhad dan tidak terbatas. Antonim bagi tasybih. Faham?

Zaim : Oh macam tu.Faham.Saya faham. Apa pula hukum kalau kita makan berdiri? Sama seperti hukum minum tadi ke ustaz?
Ustaz: Hukum makan dan minum berbeza. Makan sambil berdiri, jika ada hajat, hukumnya harus. Seperti kamu yang tergesa-gesa hendak sambung pembelajaran, maka diharuskan. Takut kalau duduk, akan memakan masa yang lama.

Zaim : Macamana pulak kalau saya tak ada hajat apa-apa? Boleh makan berdiri?
Ustaz: Dah kamu tak ada hajat apa-apa, kamu duduk je la makan diam-diam. haha. Kalau tak ada hajat, hukumnya khilaf afdal(menyalahi yang lebih utama).

Zaim : Apa maksudnya ustaz? Makruh ke?
Ustaz: Tidak boleh dikatakan makruh dalam soal ini sebab sabit dalam riwayat Ibn Umar bahawa mereka(para sahabat nabi) pernah melakukannya. Ini lebih utama dibandingkan riwayat Sahih Muslim daripada Anas yang memakruhkannya.

Zaim : Oh begitu. Terjawab pun soalan yang saya perap sebulan ni ustaz. Terima kasih banyak ustaz sebab sudi luangkan masa. Alhamdulillah,bertambah ilmu saya hari ni.

kring.....kring....kring....

Ustaz, saya minta diri dulu. Waktu rehat pun dah habis ni. Jumpa esok. Hari ni tak ada kelas arab, esok pagi-pagi ada kelas ustaz. Syukran jazilan sekali lagi ustaz.
Ustaz: Afwan. Tak jadi masalah la nak layan kamu ni. Syukran jugak ingatkan saya kelas esok. Tak sabar nak tengok tadribat(latihan) yang saya bagi tu. Tak siap duduk dekat koridor ye.

Zaim :-,-'(terkene lagi). Baik la ustaz. Saya minta diri dulu. Ma'as salamah wa ilal liqo'. Assalamu'alaikum.
Ustaz: InsyaAllah. Wa'alaikumussalam.



SEMOLEKNYA MAKAN DAN MINUM DUDUK.........
BUKANKAH LAGI SIHAT DAN BERADAB SOPAN?
sumber : MAJALAH AL-USTAZ ISU NO 11 MS 13


والله اعلم


AL-INSYIRAH



سْـــــــــــــــــمِ اﷲِارَّحْمَنِ ارَّحِم




Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.
1. Bukankah Kami telah melapangkan bagimu: dadamu (Wahai Muhammad serta mengisinya Dengan iman dan hidayah petunjuk) ?
2. dan Kami telah meringankan bebanmu daripadamu:(menyiarkan Islam) -
3. Yang memberati tanggunganmu,
4. dan Kami tinggikan sebutan (nama)mu bagimu.
5. Maka (tetapkanlah kepercayaanmu) Bahawa Sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan,
6. Bahawa Sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan.
7. Maka apabila Engkau telah selesai (daripada sesuatu amal Soleh), maka bersungguh-sungguhlah Engkau berusaha (mengerjakan amal soleh Yang lain),
8. dan kepada Tuhanmu sahaja hendaklah Engkau memohon (Apa Yang Engkau gemar dan ingini).


Sudah dengar surah di atas dan menghayati maksudnya?
Jika sudah, alhamdulillah. Semoga kita mendapat fadhilat dan kelebihan disebalik surah ini. InsyaAllah.

Sama bukan tajuk entri kali ini dengan nama blog ini? Related kah?
Cukuplah sekadar mengetahui surah ini banyak mendidik diri saya semenjak dahulu hingga kini jika ditimpa saat kegetiran.
Maknanya yang mendalam menjadi sumber ilham saya melakar nama 'al-insyirah' kepada blog ini.
Subhanallah!!!

Imbas kembali,
Zaman sekolah rendah dulu, selepas tamat sahaja sesi pnp(pengajaran dan pembelajaran),baca surah al-insyirah.
Sahabat sekolah rendah memberi motivasi ketika hampir musim trial SPM, dengan makna surah al-insyirah yang sangat menyentuh jiwa.
Dikala terasa hampir berputus asa dengan kehidupan, dengan mendengar,membaca, dan menghayati ayat dan maknanya, terasa bagai Allah menghadirkan segelinap kekuatan untuk terus berlari.

Surah yang pendek tetapi maksudnya cukup tinggi untuk digapai oleh hati kita.
Allah telah mengulangi dan menegaskan dalam surah Al-insyirah bahawa setiap kesulitan pasti ada kemudahan
Masihkah kita hendak berputus asa apabila gagal?
Bertawakallah kepada Allah,Dia tahu apa yang terbaik buat hamba-hambaNya.

Setiap kita hambaNya pasti diuji, bezanya kecil atau besar, tetapi ingatlah Allah Maha Adil.
Kita pasti bisa menghadapi ujian yang mendatang, jikalau tidak masakan Allah menghadirkannya kepada kita. Hadapilah ujian dengan redha dan pengharapan yang sepenuhnya kepadaNya. Allah sudah berfirman, setiap kesulitan pasti ada kemudahan.

Kadang-kadang otak ligat berfikir,
Kenapa orang yang usaha sikit lagi berjaya dari orang yang sentiasa berikhtiar pagi petang siang malam?
Kenapa orang yang sebegitu lebih dari orang yang sebegini....
Banyak sangat ketidakpuashatian.

Jangan musyil dengan janji Allah. Kata-kata Allah itu pasti sepertimana pastinya mati, syurga dan neraka itu.

Apabila kita tidak faham sesuatu topik, Allah hadirkan insan-insan untuk membantu.
Apabila kita rasa ingin meluahkan sesuatu, Allah hadirkan pendengar-pendengar yang baik.
Apabila kita menangis, pasti ada bahu yang hadir menghulur belas.
Apabila kita ingin berubah kearah kebaikan, pasti ada yang hadir membantu.

Jika rasa peritnya ujian itu, menangislah duhai hati. Menangislah keranaNya. Menangislah kepadaNya. Menangis dan luahkanlah segala-galanya. Ketenangan pasti menyergah kembali hidupmu. Seperti hadirnya pelangi selepas hujan. Manis bukan.



Berusaha dan bertawakallah,
Syukurlah dengan rezeki yang Allah berikan.
Kita yang bertanggungjawab melakarkan sepertimana cantiknya lakaran hidup yang kita mahu bukan sekadar menanti hadirnya lakaran hidup yang cantik seperti kemahuan kita.

Kita hari esok apa yang kita corakkan pada hari ini.
Jika kita rasa buruknya corak kita hari semalam,
hujanilah ia sebelum tibanya hari esok.
Mudah-mudahan kita mendapat corak yang cantik pada hari esok.


والله اعلم

sahabat selamanya


سْـــــــــــــــــمِ اﷲِارَّحْمَنِ ارَّحِم






Waktu pertama kali bertemu kita lihat kawan-kawan kita tidak lebih seperti orang asing.
Tetapi dalam tempoh 5/2 tahun lamanya kita di smkdb, orang-orang asing itulah yang sudi melakar kenangan manis, pahit, tawar dan masam bersama kita. Walaupun bercampur-baur rasanya, tetapi diakhirnya kita dipertemukan dengan manisnya ukhwah.
Betulkah manis???
Tersangat manis kerana
hati terasa sayu apabila kita semua ditakdirkan berpisah kerana ilmu,
jiwa terasa damai apabila meluangkan masa seharian bersama,
kolam kornea laju mengalir sendirian di kamar,
genggaman tangan sukar tuk dileraikan,

Tetapi itulah hakikat hidup, setiap pertemuan pasti ada perpisahan. 
Sabarlah duhai hati.

Awak-awak semua,
Walaupun tatapan mata ke mata kita sudah terputus,
tetapi jangan pernah putuskan doa sesama kita,
sebab itulah bekalan kita bersama.
Berdoalah agar ukhwah  kita berkekalan dunia akhirat dengan takdir Ilahi.
InsyaAllah.

Jangan pernah padamkan memori kita di smdb,
seronoknya kita belajar sama-sama, pergi kantin sama-sama, makan dalam kelas sama-sama,tawaf sekolah sama, penat sama-sama, main sama-sama, pergi kelas sama-sama, berbincang sama-sama, gosip sama-sama. Jangan pernah lupa tau....

Saya akan sentiasa doakan kalian, InsyaAllah selagi hayat dikandung badan,
Bertebaranlah kalian mencari ilmu,
Walaupun formalnya ilmu fardu kifayah yang dipelajari, jangan lupa yang fardu ain juga walaupun tidak formal pembelajarannya.
Kutiplah sebanyak mungkin ilmu duhai kawan-kawan sayang.

Video ini ditujukan khas buat classmate walaupun tidak semua orang ada di dalam gambar tetapi, semua orang ada di dalam hati. InsyaAllah

Moment ini hari terakhir kami semua melawat sekolah sebelum semua berangkat ke alam universiti, matrik dan kolej masing-masing.

Jika ditakdirkan Allah kita berjumpa lagi, semoga kita masih berpeluang jumpa di dunia sebelum kita sama-sama melangkah ke syurgaNya. InsyaAllah.

Ilalliqo' ma'assalamah semua.^^

KETAHUI HARI LAHIR SAMBIL PERTAJAMKAN IQ


سْـــــــــــــــــمِ اﷲِارَّحْمَنِ ارَّحِم




Baru-baru ini cuba satu permainan ini. Tertarik juga dengan permainan yang dicipta oleh siapa pun saya tidak tahu, jadi kepada pencipta formula ini, izinkan saya berkongsi permainan osem itu di blog ini. Kepada yang memperkenalkan, terima kasih juga.

Permainan ini adalah untuk mengetahui tarikh hari lahir seseorang menggunakan kepintaran math kecekapan IQ kita. Jom cuba.

Cara permainannya agak mudah dan banyak nilai disebaliknya. 

Syarat-syarat permainan

1) pilih seseorang mangsa 
2) simpan kalkulator atau henset.dalam hensetkan ada kalkulator juga(untuk IQ)

Cara-cara permainan

Tanyakan soalan-soalan berikut kepada orang itu
1) bulan kelahiran x 5
2) jawapan + 7
3) jawapan x 4
4) jawapan + 13
5) jawapan x 5
6) jawapan + haribulan kelahiran

Akhir sekali, tolakkan jawapan terakhir yang kita peroleh dengan 205. Ini rahsia kita. Akhirnya kita akan dapat tahu berapa hari bulan dan bulan apa dia lahirPadahal dah tanya Permainan ini untuk mengetahui hari lahir bukan tahun lahir.haha


Contoh tarikh lahir saya 16/6. Dapat atau tidak?

1) 6 x 5 = 30
2) 30 + 7 = 37
3) 37 x 4 = 148
4) 148 + 13 =161
5) 161 x 5 = 805
6) 805 + 16 = 821
7) 821 - 205 = 616

    6                    16
bulan        haribulan

Menguji tahap IQ sendiri malam-malam sebegini. Mudah sahajakan. Formulanya tiadalah seperti formula +math yang memerlukan kita ingat konsep-konsepnya. Cuma sekadar tambah dan darab, sangat sesuai untuk adik-adik sekolah rendah kita atau mungkin tadika supaya lebih terbuka operasi darab seawal usianya. 

Sebenarnya ada garis panduan yang lebih bagus dan terbaik untuk kita mempertajamkan tahap IQ kita. 

Ya itulah jawapannya. Al-Quran. Kalam Allah yang diturunkan kepada nabi Muhammad melalui malaikat jibril dalam bahasa arab bermula dengan surah al-fatihah dan berakhir dengan surah an-nas dan membacanya dikira satu ibadah. Seronok menghafaz maknanya zaman belajar PQS dahulu.

Banyak kelebihannya jika kita menghafaz Al-Quran ini. Baik di dunia mahupun di Akhirat.

Apabila kita bersungguh-sungguh menghafaz al-quran keranaNya, automatik kita akan berusaha memperkuatkan daya ingatan kita dengan mengamalkan makanan sunnah seperti kurma, kismis, susu kambing walaupun saya tidak minat susu. Makanan-makanan ini dapat menguatkan daya ingatan kita. Apabila kita mengafaz al-quran kita juga sebenarnya sedikit demi sedikit berusaha keluar dari kegelapan dunia kejahilan. Berusaha meninggalkan maksiat. Jaga sejaga-jaganya hafalan kita.

Semoga kita menjadi hambaNya yang lebih baik esok.
Selamat beramal.


والله اعلم

TERIMA KASIH CIKGU !!!


سْـــــــــــــــــمِ اﷲِارَّحْمَنِ ارَّحِم





16 Mei adalah hari khusus memperingati jasa guru atau murabbi kita. Rindunya tarbiyah cikgu-cikgu. Tidak terkira banyaknya ilmu yang cikgu sudah curahkan kepada kita.

Dari mula lahir di dunia ini, hidup kita tidak akan lengkap tanpa murabbi. Tanpa seorang pendidik mungkin kita tidak akan dididik menjadi manusia seperti hari ini.

Seawal usia bayi ibubapa sebagai pendidik. Merekalah yang mengajar kita dari benda sekecil zarah sehinggalah sebesar-besar zarah. Dari tidak tahu menyesut, sehingga mampu menyesut, kemudian merangkak dan mampu berdiri dan bertatih perlahan-lahan. Sehingga hari ini kita  mampu berjalan 'catwalk' dan berlari dengan sendiri. Alhamdulillah.


DI AJAR MENGENAL SANG PENCIPTA DIAWAL USIA

Apabila usia menigkat 5 tahun, hidup kita ditambah dengan bilangan murabbi. Terima kasih cikgu-cikgu Pasti Siswa, Johor. Saya ingat lagi betapa seronoknya saya hendak ke sekolah. Emak pun ada cerita yang saya tidak liat untuk ke sekolah. Alhamdulliah kurang beban mak. Cantik suasana Pasti dahulu. Belajar ا ب ث ABC 123. Makan keliling talam ramai-ramai, apabila tidak cukup akan ada yang sukarela pergi menambah. Apabila tengok kembali rekod pencapaian dahulu, sejuk mata memandang. Majoriti semua subjek markah 100%. Tetapi apabila meningkat dewasa barulah mengerti apa iitu ilmu. Belajar tidak akan pernah berhenti walaupun semakin sukar tahapnya.

Ilmu yang mudah dicedok lagi di Pasti al-Badar, Perak ketika berusia 6 tahun. Terima kasih cikgu-cikgu. Terkenang kembali saat belajar berlapikkan lantai kerana menggunakan meja Jepun ketika itu. Cikgulah yang mengajar, cikgu jugalah yang memasak di dapur. Di saat berkelahi sesama rakan, cikgulah tempat mengadu ketika itu. Sungguh keanak-anakan.

Apabila usia meningkat diri melonjak naik ke sekolah rendah. Ibubapa menghantar saya ke SK Simpang, Perak di sebelah pagi dan SAR Al-Hidayah,Perak di sebelah petangnya. Mengambil masa kira-kira 5 minit dari rumah. 5 tahun menimba pelbagai ilmu baru. Tidak terbalas jasa guru-guru yang telah membentuk anak bangsa ini. Terima kasih cikgu-cikgu. Walaupun anak muridmu ini sentiasa 'blur' tetapi cikgu-cikgu tetap mendidik dengan penuh kesabaran.

SMK Doktor Burhanuddin,Perak. Sekolah yang terakhir setakat ini. Hanya sekolah biasa tetapi cikgu-cikgunya sangat luar biasa. Melakar kenangan bersama-sama cikgu-cikgu yang luar biasa menjadikan kenangan itu juga indahnya luar biasa. Mungkinkah saya juga akan menjadi luar biasa satu hari nanti? InsyaAllah. Biiznillah. Terima kasih cikgu-cikgu yang superb osem.

Terfikir sejenak, siapalah saya tanpa murabbi sejak lahir. Mungkin saya tidak bisa berdiri di atas kaki sendiri sekarang. Siapalah saya tanpa ilmu. Mungkin lebih jahil dari makhluk yang tidak berakal. Bersyukurlah jika kita masih diberi kesempatan mencari ilmu. Jangan disebabkan ilmu kita sombong menongkah langit. Jadilah seperti resmi padi, semakin masak semakin tunduk ke bumi. Jangan lokek dengan ilmu yang kita ada.



Firman Allah Taala, maksudnya: "Sesungguhnya orang-orang yang menyembunyikan apa yang telah Kami turunkan dari keterangan-keterangan dan pertunjuk hidayat, sesudah Kami menerangkannya kepada manusia di dalam kitab suci,  mereka itu dilaknat oleh Allah dan dilaknat oleh sekalian makhluk. " 
(159, Surah Al-Baqarah).

Takutkan dengan laknat Allah. Maka jangan lupa untuk kongsikan ilmu yang bermanfaat dengan orang-orang lain. Mungkin kita takut apa yang kita cuba sampaikan tidak terlekat dihati mad'u. Mungkin kita merasakan apa yang kita hendak sampaikan orang lain sudah lama mengetahuinya. Mungkin kita rasa tidak layak memberi peringatan kepada mereka yang 'alim.

Nasihat saya, jadilah seperti guru-guru kita. Mereka juga pernah digelar pelajar seperti kita. Masih bisa menyampaikan ilmu walaupun terkadang kita tidak menghargai ilmu yang mereka sampaikan. Kita berlagak tahu semua perkara padahal diri sangat cetek dengan ilmu. Saya juga seperti anda, merasa tidak layak untuk memberi, tetapi sampai bila kita hendak menerima? 


عن أبي هريرة رضى الله عنه أن رسول الله صلى الله عليه وسلم قال : إذا مات ابن آدم انقطع عمله إلا من ثلاث: صدقة جارية أو علم ينتفع يه أو ولد صالح يدعو له 


Maksud hadis :

Daripada Abu Hurairah Radhiallahu ‘Anhu katanya,, Rasulullah SAW telah bersabda : Jika anak Adam meninggal, maka amalnya terputus kecuali dari tiga perkara, sedekah jariyah (wakaf), ilmu yang bermanfaat, dan anak soleh yang berdoa kepadanya.'' (HR Muslim).

Tanpa CIKGU mungkin kita tidak bisa mengenal Allah
Tanpa CIKGU mungkin kita tidak bisa mengenal diri sendiri
Tanpa CIKGU mungkin kita akan terus-terusan dalam kejahilan
Tanpa CIKGU mungkin kita bukan siapa-siapa di masa depan
TERIMA KASIH CIKGU !!!!






والله اعلم



65 Tahun Nakbah Palestin



سْـــــــــــــــــمِ اﷲِارَّحْمَنِ ارَّحِم




Tanggal 15 Mei setiap tahun kita akan diperingatkan dengan peristiwa nakbah di Palestin. Di mana sejarah hitam yang dilakarkan pada tanggal 15 Mei 1948 itu telah menyedarkan kita kesengsaraan hidup saudara seislam kita di sana.


Tanggal 15 Mei 1948, secara rasmi penubuhan dan pendudukan kerajaan haram rejim zionis di atas bumi Palestin yang turut 'didalangi' oleh Britain dan PBB. Tarikh ini menjadi titik hitam buat seluruh penduduk Palestin serta umat Islam seantero dunia apabila hak kita dicabuli.

يَا بَنِي إِسْرَ‌ائِيلَ اذْكُرُ‌وا نِعْمَتِيَ الَّتِي أَنْعَمْتُ عَلَيْكُمْ وَأَوْفُوا  

بِعَهْدِي أُوفِ بِعَهْدِكُمْ وَإِيَّايَ فَارْ‌هَبُونِ 

“Wahai bani Israel! Kenangkanlah kamu akan segala nikmat yang-Ku berikan kepadamu, dan sempurnakanlah perjanjian (kamu) dengan-Ku supaya Aku sempurna perjanjian-Ku dengan kamu; dan kepada Akulah saja hendaklah kamu merasa gerun takut, (bukan kepada sesuatu yang lain).” 
(Surah al-Baqarah, ayat 40)


Untuk mengetahui lebih lanjut tentang sejarah tercetusnya nakbahbaca malapetaka atau bencana besar, sila rujuk sini.


Dalam satu kisah sahabat, pada suatu hari Abu Ubaidah al-Jarrah bertanya kepada Rasulullah SAW: “Wahai Rasulullah, siapakah manusia paling dahsyat azabnya pada hari kiamat?” Baginda menjawab: “Sesiapa yang membunuh nabi atau orang yang melaksanakan amar makruf nahi mungkar.”

Kemudian Baginda membaca ayat al-Quran daripada surah al-Imran ayat 21:

إِنَّ الَّذِينَ يَكْفُرُ‌ونَ بِآيَاتِ اللَّـهِ وَيَقْتُلُونَ النَّبِيِّينَ بِغَيْرِ‌ حَقٍّ وَيَقْتُلُونَ الَّذِينَ يَأْمُرُ‌ونَ بِالْقِسْطِ مِنَ النَّاسِ فَبَشِّرْ‌هُم بِعَذَابٍ أَلِيم٢١
Sesungguhnya orang yang kufur ingkar ayat keterangan Allah dan membunuh nabi dengan jalan tidak benar, serta membunuh orang yang menyeru manusia berbuat adil, maka sampaikanlah berita kepada mereka dengan azab pedih.”
 .
Baginda meneruskan sabdanya: “Wahai Abu Ubaidah, ketahuilah bahawa bani Israel sudah membunuh 43 nabi pada sebelah pagi dalam satu masa. Kemudian ada 170 orang Israel yang mengajak mereka membunuh nabi berkenaan yang menyeru kepada makruf dan mencegah mereka daripada mungkar tapi mereka membunuhnya pada sebelah petang.” 
(Riwayat Abu Hatim dan Ibn Jarir).


Sejarah Islam harus diterokai. Banyak kisah sejarah perjuangan Islam yang mampu menaikkan semangat jihad kita. Hidup kita tidak terlepas dari sejarah, maka kenanglah sejarah dan manusia-manusia hebat dalam sejarah hidup kita.

Bak kata Hilal Asyraf, jangan hanya mengekspresi keprihatinan kita hanya dengan menge'like' atau menge'share' post di fb. Tetapi lakukanlah sesuatu mengikut talent atau bakat yang ada pada diri kita. Sebagai contoh membuat video kepada siapa yang lantang bersuara. Menulis bagi siapa yang mata penanya tajam atau keyboardnya masih berguna. Melukis  potret atau komik. Boleh juga diekspresikan perasaan empati dan prihatin melalui pantun,sajak,puisi mahupun lagu. Semua itu terpulang kepada kerajinan kita.


Jangan hanya mengharapkan orang lain yang mengwara-warakan,dan kita hanya  tumpang sedih. Apakah usaha kita membantu saudara Islam kita di sana? Ingat, walaupun sekecil zarah bantuan kita, tetapi sungguh besar kepada mereka yang memerlukan. Allah usha usaha bukan kejayaan.


Alhamdulillah dengan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Aqsa Syarif Berhad di Malaysia kita dapat menghulurkan bantuan berbentuk fizikal kepada saudara Islam kita di sana. Baik bantuan berupa wang, makanan mahupun pakaian.Semua itu akan disalaurkan ke Bumi Palestin melalui Aqsa Syarif.


Tetapi dalam kita melalui kehidupan di bumi Malaysia yang aman ini, jangan lupa menadah tangan berdoa supaya Allah memberi mereka di sana juga kegembiraan. Bersyukurlah dengan rezeki yang kita dapat, kurangkanlah mengeluh jika ditimpa musibah. Lihatlah nasib orang yang dibawah kita supaya kita sedar hakikat seorang hamba. Siapalah kita tanpa pertolongan dari Allah.


Berdoalah kepada Allah agar suatu hari nanti akan ada pemuda sehebat Salahuddin Al-Ayubbi. Berjuang menegakkan Islam bukan kepalang. Bermati-matian merebut kembali jurussalem walaupun nyawa menjadi taruhan.


Mungkin mustahil untuk mendapatkan kembali bumi palestin, baitulmuqaddis, masjid al-aqsa jika umat Islam tidak bersatu padu malah saling bertelagah. Tetapi tiada apa yang mustahil dengan kehendak Allah jika Dia berkehendakkan satu hari nanti Islam akan menang. Maka, bersatulah kita menegakkan hak yang sudah sekian lama dipercaturkan.



والله اعلم

berkilaunya EMAS itu!!!



سْـــــــــــــــــمِ اﷲِارَّحْمَنِ ارَّحِم


Subhanallah, Maha Suci Allah

Alhamdulillah, Segala Puji Bagi Allah

Allahuakbar, Allah Maha Besar

Tolong berzikir dahulu sebelum scroll sampai bawah...

Alhamdulillah. Saja hendak ajak buat pahala sikit. Takut-takut entri kali ini beremosi sedikit. Mood dari kedai makan terbawa pulang sekali.

Baru pulang dari menemani emak pergi mengurut. Sebelum pulang singgah sebentar di kedai makan berhampiran kerana sahaja hendak cuba masakan tom yam kedai. Sambil menunggu menu yang dipesan siap dimasak, menunggu di sebuah meja yang paling hujung dan jauh dari televisyen.



Siaran di televisyen menayangkan sebuah program realiti tv, bertajuk KILAUAN EMAS di channel astro prima. Oh what the story about....zzz. Betulkah apa yang aku sedang lihat sekarang. Mak cik-mak cik, atau mungkin nenek-nenek sedang menyanyi sambil berdangdut di televisyen kini. 

Almaklumlah penulis tiada astro di rumah. Tapi aku nak bagitau, kalau itulah yang ditonton oleh orang yang ada astro, baik tidak payah langgan, buat tambah dosa sahaja habaq hang. Channel yang tidak ada astro pon sudah banyak cerita-cerita yang boleh membuatkan aku muntah hijau, inikan pula kalau aku berastro. Pakat aku buat digestive system ikut mulut ja satgi. 

Kebegangan aku mendadak naik apabila aku disajikan dengan bau-bau 'harum' dari sekeliling. Tua, muda, atuk, pak cik, abang, yang sebaya, adik yang laki-laki di kedai itu majoriti membuat serangan asap dari mulut mereka terhadap aku. Kenapa tidak disedut asap-asapnya sekali, mengapa perlu dilepaskan kepada kami disekeliling. Kami tidak salah. Kami tidak mahu mati kerana menyedut 'najis' dari hangpa. 

Astaghfirullahal 'Aziim. Astaghfirullahal 'Aziim. Astaghfirullahal 'Aziim.
Maaf kerana sudah mengurangkan pahala kalian dengan terbaca dua peranggan di atas ini. Tapi sekarang saya hendak mengulas lebih tentang program realiti televisyen yang 'superb' itu.  Perihal masalah rokok itu akan saya ulas dilain entri. InsyaAllah.

Saya sebenarnya terkejut dan seakan-akan tidak percaya melihat program yang turut menggalakkan warga emas menjadi seakan-akan orang muda. Bukanlah maksudnya disini saya redha dan mengatakan hiburan itu cuma untuk orang muda yang belia remaja. 

Tetapi mata ini sudah tidak terkejut jika disajikan dengan program realiti tv yang melibatkan orang-orang muda. Di Malaysia, perkara itu telah sebati dan menjadi satu kebiasaan. Yang haram dijadikan kebanggaan. Dimanakah letaknya syariat islamiah? Tepuk dada tanya iman.

Di suatu masa dahulu pernah dikejutkan dengan program realiti tv yang melibatkan kanak-kanak. Siapa tidak terkejut jika program Idola Kecil yang kononnya mengasah bakat anak-anak sejak kecil dihidangkan.Mungkin ada segelintir yang tidak terkena kejutan itu. Tetapi siapakah yang harus dipersalahkan. Adakah perlu menunding jari kepada ibu bapa yang memberi galakan? Atau ustaz ustazah di sekolah yang tidak menekankan soal halal haram? Atau sokongan padu dari para penonton?Atau kanak-kanak itu yang tidak salah memilih jalan?

Tetapi di suatu masa kini, kita turut disajikan dengan kegelincahan para ibu dan mungkin juga nenek di atas pentas. Mengapa semua ini turut terjadi. Siapa yang akan menjadi contoh generasi muda? Siapa pula yang patut dipersalahkan dalam soal ini. Adakah perlu menyalahkan anak-anak yang mungkin tidak memberi nafkah sehingga si ibu perlu bekerja seperti itu? Dayuskah si suami yang menggalakkan isterinya mempamerkan aksi-aksi mengancam di atas pentas kepada seluruh penonton? 

Tidak perlu rasanya saya mengulas satu demi satu. Kita sendiri sudah mukallaf, mampu membezakan yang mana baik dan yang mana buruk. Saya juga penonton televisyen seperti anda. Mungkin tidak terlepas dari dosa melihat aurat artis-artis lelaki atau 'mempasrahi' pameran pendedahan aurat artis perempuan. Tetapi itu yang disajikan. Sedikit atau banyak itulah yang menjadi rutin harian. Televisyen adalah media massa yang paling mendapat sambutan berbanding radio, surat khabar, majalah, ensiklopedia, internet, etc.

Saya mengesyorkan supaya kurangkanlah menonton program rancangan realiti tv yang berbentuk nyayian yang melalaikan. Apa salahnya menukar rentak dengan menghidangkan gegendang telinga dengan alunan nasyid dari Maher Zain, Far East, UNIC, etc. Atau mungkin alunan kalamullah bacaan merdu dan menyayat hati syeikh Misyari Al-Afasi misalnya. 

Elakkanlah tertarik untuk mendekatkan diri  dengan konsert hiburan secara live. Lebih banyak kemungkaran yang akan berlaku. Nauzubillah. Mungkin boleh ditukarkan rentak dengan pergi ke pesta buku antarabangsa dan berjumpa dengan penulis-penulis secara live. Itukan lebih untung dan banyak manfaatnya mencedok ilmu dari yang 'alim.

Jika terasa dokumentari adalah suatu yang membosankan, tontonlah drama ataupun filem yang terselit nilai dan pengajaran. Tidak dinafikan selain drama atau filem melayu, majoriti tertarik dengan cerita korea, jepun, thailand, etc. Ambil yang jernih dan jadikan yang keruh sebagai ikhtibar dan landasan menuju kepada yang jernih. 

Niat tidak menghalalkan cara. Jika niat baik tetapi tidak selaras dengan syariat islam, usaha itu seperti tiada maknanya. Kepada kita penonton-penonton setia televisyen atau youtube sekalipun, pilihlah rancangan yang betul dan terselit natijahnya.

Dimensi dakwah global dalam konteks realiti hari ini perlu diperluaskan skop dan aspeknya ke arah menterjemahkan Islam secara lebih konsisten, lebih-lebih lagi ketika dunia kini sedang berhadapan dengan segala macam cabaran, konflik serta halangan yang sentiasa berubah, kompleks dan di luar jangkaan. 

Untuk itu, Islam perlu diperjelas dan diperkasakan lagi melalui perspektif dakwah yang dilaksanakan secara konstruktif dan mampu mencetuskan inovasi serta idea baru melalui model TV Islam sebagai contoh.

Mungkin perlu diselitkan nas tentang kesabaran dari al-quran kepada diri yang sedang menggelegak dengan nafsu amarah yang dibisikkan oleh syaitan.

إِنَّمَا يُوَفَّى الصَّابِرُونَ أَجْرَهُمْ بِغَيْرِ حِسَابٍ


Sesungguhnya hanya orang-orang yang bersabarlah yang dicukupkan pahala mereka tanpa batas.” 
(Az-Zumar:10)



والله اعلم

CRUSH


سْـــــــــــــــــمِ اﷲِارَّحْمَنِ ارَّحِم



Alhamdulillah masih bisa bernafas, dikurniakan tubuh yang sihat untuk melakukan ibadah khususnya, dikurniakan akal yang cerdas untuk berfikiran waras dan rasional. Mudah-mudahan setiap lakuan amal kita hari ini diterima dan diredai Allah. Allahumma Ameen.

Di suatu masa yang dihimpit dengan infiniti kebosanan, tetiba datang seorang budak perempuan dalam lingkungan 12 tahun menyapa dan mengajak saya berborak.Alhamdullilah mungkin Allah hadirkan dia untuk menghilangkan kebosananku pada saat itu.

" Akak, macam mana nak lari atau lupa daripada 'cinta' lelaki yang handsome."

Itu antara soalan yang dia cuba ajukan. Mungkin boleh dikongsikan natijah daripada perbualan ini. InsyaAllah.

Crush atau orang yang kita admire, fanatic, etc. Perasaan suka sesama manusia itukan fitrah tidak disangkal kefitrahannya. Semua orang tidak lari dari perasaan menyayangi dan hendak disayangi. Tetapi janganlah kerana fitrah itu, kita terlupa letakkan kecintaan yang paling tinggi dan paling hak iaitu Rabb. Allah. Sesungguhnya cinta kepada Rabb itu juga fitrah, malah yang pertama dan utama kepada kita makhluknya.

Fitrah itu maksudnya sesuatu yang semulajadi wujud dalam diri manusia mengikut apa yang terbaik untuk kepentigan manusia itu sendiri. Allah yang menghadirkan perasaan itu kepada kita, dia hendak uji sejauh tahap keimanan dan kecintaan kita terhadapnya.

Pernah tidak kita terfikir mengapa hati kita mudah terpaut kepada ajnabi. Adakah kita cuma cintakan rupa parasnya yang menawan seakan-akan artis korea, atau kerana ilmu yang ada padanya atau mungkin juga kerana kekayaannya. Yang manakah yang menjadi asbab kita ter'suka' kepada si dia?

Mungkin kita kurang tarbiyah. Berilah santapan rohani kepada diri setiap hari supaya kita lebih dekat kepadaNya.Masa remaja bukan masa untuk kita melayan perasaan, kitalah generasi yang bakal menyambung wasilah Islam. Jika sekarang kita asyik melayan perasaan, adakah masa kita ruangkan untuk kita fikirkan mengenai masa depan kita bersama Islam satu hari nanti.

Jadilah seperti Abdullah bin Umar, walaupun masih berusia 13 tahun tetapi semangat juangnya bergelora untuk sertai peperangan bersama-sama rasulullah. 
Jadilah seperti Usamah bin Zaid, walaupun masih berusia 18 tahun telah diangkat oleh rasullullah menjadi komander memimpin pasukan kaum muslimin meyerbu wilayah Syam(Rom).
Jadilah seperti Ibn Umar,yang memohon hendak menyertai peperangan seawal perang Badar tetapi diterima semasa perang Al-Ahzab.
Jadilah seperti Al-Barra', memohon untuk menyertai peperangan bersama Ibn Umar, tetapi terpilih semasa perang Uhud.
Jadilah seperti pemuda-pemudi yang cintakan ilmu seawal usia mudanya, Hilal Asyraf, Fatimah Syarha dan ramai lagi. InsyaAllah.

Disini saya tertarik untuk berkongsi sedikit tips atau alternatif lebih kepada penjagaan hati khususnya untuk saya sendiri.




1) Jaga pandangan


“Katakanlah kepada orang-orang mukmin (lelaki) agar mereka menundukkan pandangan mereka dan menjaga kemaluan mereka. Demikian adalah lebih suci bagi mereka. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang mereka kerjakan. Dan katakanlah kepada wanita mukminah agar mereka menundukkan pandangan mereka dan menjaga kemaluan mereka”
( Surah An-Nur : ayat 30,31)


Kuasa panahan dari pandangan ini amat dasyat. Dari pandanganlah hati akan mudah terusik. Dari mata turun ke hati. Jika terlibat dengan perbincangan atau aktiviti yang menggabungkan dua jantina dan satu spesies, seelok-eloknya siapkanlah benteng yang jitu atau kuncilah hati ketat-katat supaya tidak tersentuh dek panahan mata yang galak.

Jika setiap malam sebelum tidur asyik menatap wajahnya, hentikanlah. Cuma mengundang kerinduan yang tiadaan perhentiaannya yang tetap.Lebih baik sebelum tidur kita sama-sama  muhasabah diri dan dosa yang sudah kita lakukan pada hari tersebut. Ada baiknya juga kita mengingat perhentiaan yang sudah tetap buat kita semua, MATI.

Tanya balik diri kita, mengapa aku terpaut kepadanya? Adakah kerana aku terpandang atau sengaja meliarkan pandangan selama ini? Banyakkan beristighfar. Astaghfirullahal 'aziim.

2) Hentikan penyelidikan
Hati sudah terpaut bukan. Itu semua gara-gara mata. Haish. Apabila sudah 'terminat' mulalah hendak mengetahui serba-serbi tentang dia bukan. Hari-hari mesti 'stalk' fb dia. Hendak juga tahu perkembangan dia. Apa yang dia lakukan hari ini. Dia tinggal mana. Adik -beradik berapa orang. Anak nombor berapa. Senang cerita seperti mahukan biodata penuhnya.

Hentikanlah aktiviti itu, mungkin kita boleh ubah aktiviti kita, daripada menyelidik tentang suatu yang tidak pasti baik atau buruknya bagi kita, jom kita pakat-pakat selidik tentang kesohihan politik negara kita.maaf tidak berniat menimbulkan sebarang provokasi disini.

3) Hentikan berfikiran mengarut
Jauhkan dari berfikir benda yang tidak mengembangkan tahap pemikiran remaja kita. Jangan terbawa-bawa pemikiran keanak-anakan kita pada zaman 'batu' dahulu kezaman 'logam' masa kini.

Tidak perlu tergesa-gesa mengidamkan sebuah keluarga bersama-samanya. Itu hanya membuat kita jatuh tidak akan bisa bangun kembali kerana kuatnya 'gam' yang sudah kita cipta sendiri, hanya terasa apabila terkena kepada diri sendiri.

Perbanyakkan mengingati mati, Allah, orang-orang yang kita patut sayang seawal usia ini. Adakah tidak cukup kasih sayang Allah, ibubapa dan rakan-rakan pada usia remaja ini?

4) Berjemaahlah jangan berindividu
Sentiasa mendampingi seseorang yang boleh mendekatkan diri kita kepada Allah. Carilah orang yang boleh menguatkan tali mahabbah kita sesama yang berhak. Sertailah usrah untuk mendapat lebih tarbiyah islamiah itu sendiri.

Elakkan duduk sendirian. Bersendirian akan membuatkan kita menghabiskan masa mengingatinya, berfikir tentangnya. Hentikanlah. Rancanglah aktiviti berfaedah sesama keluarga mahupun rakan-rakan. Penuhkan ingatan kita mengingatiNya. Jangan lekang dengan zikrullah, membaca al-quran dan berselawat. Itulah yang menjadi syafaat kepada kita di hari kelak.

5) Elakkan bercerita mengenainya


Nabi SAW bersabda lagi: “setiap perkataan anak Adam adalah bencana atasnya, tidak baginya (iaitu tiada yang bermanfaat baginya), kecuali menyuruh dengan kebaikan dan melarang dari kejahatan dan ingat pada Allah Azzawajalla.” (at-Tarmizi dan Ibn Majah)

Tidak dinafikan apabila hati sudah suka, fikiran juga seakan-akan menyokong. Tidak mahu berenggang dari cerita mengenainya walaupun sedetik. Dasyatnya. Ada sahaja yang hendak dikaitkan dengan si crush. Itu ini, semualah mesti ada selingan tentang dia. 

Bercerita mengenainya kepada siapa lagi jika bukan rakan-rakan. Betul tidak? Pernahkah kita terfikir, suka atau tidak mereka mendengar cerita kita? Mungkin mereka seorang pendengar yang baik, tetapi tidakkah kita rasa simpati sedikit kepada sang mulut dan sang telinga. 

Bercerita akan membuatkan hati kita semakin berharap. 'Kesetiaan' rakan-rakan mendengar membuatkan kita terus bermimpi. Lepaskanlah semua itu, jika kita benar-benar mengharapkan dia sebagai imam kita, mohonlah segalanya pada Allah. Jika kita rindu kepadanya, beritahulah Allah. Sesungguhnya Dia adalah sebaik-baik pendengar.

Perbanyakkan bercerita mengenai ukhwah sesama rakan-rakan. Itu akan mengembangkan lagi mahabbah antara kita.Saling ingat-mengingati urusan duniawi dan ukhrawi juga. Selikkan cerita yang kita bualkan dengan Islam, cara hidup kita. Itu lebih manis bukan.

Banyak lagi thariq(cara/jalan) yang boleh kita lusuri bersama. Jagalah hati kita. Jodoh, pertemuan, ajal, maut semua urusan Allah. Jaga hubungan dengan Allah jika kita berkehendakkan seseorang yang menjaga hubungannya dengan Allah juga.

Fitrah itu tidak salah, tetapi jangan kerana fitrah, kita dikawal oleh hawa nafsu. Semoga kita menjadi hambaNya yang soleh dan muttaqin. 
Allahumma Ameen.


الْخَبِيثَاتُ لِلْخَبِيثِينَ وَالْخَبِيثُونَ لِلْخَبِيثَاتِ وَالطَّيِّبَاتُ لِلطَّيِّبِينَ وَالطَّيِّبُونَ لِلطَّيِّبَاتِ أُوْلَئِكَ مُبَرَّؤُونَ مِمَّا يَقُولُونَ لَهُم مَّغْفِرَةٌ وَرِزْقٌ كَرِيمٌ

( An-Nur : 26)


(Lazimnya) perempuan-perempuan yang jahat adalah untuk lelaki-lelaki yang jahat, dan lelaki-lelaki yang jahat untuk perempuan-perempuan yang jahat dan (sebaliknya) perempuan-perempuan yang baik untuk lelaki-lelaki yang baik, dan lelaki-lelaki yang baik untuk perempuan- perempuan yang baik. Mereka (yang baik) itu adalah bersih dari (tuduhan buruk) yang dikatakan oleh orang- orang (yang jahat) mereka (yang baik) itu akan beroleh pengampunan (dari Allah) dan pengurniaan yang mulia.



والله اعلم