سْـــــــــــــــــمِ اﷲِارَّحْمَنِ ارَّحِم
16 Mei adalah hari khusus memperingati jasa guru atau murabbi kita. Rindunya tarbiyah cikgu-cikgu. Tidak terkira banyaknya ilmu yang cikgu sudah curahkan kepada kita.
Dari mula lahir di dunia ini, hidup kita tidak akan lengkap tanpa murabbi. Tanpa seorang pendidik mungkin kita tidak akan dididik menjadi manusia seperti hari ini.
Seawal usia bayi ibubapa sebagai pendidik. Merekalah yang mengajar kita dari benda sekecil zarah sehinggalah sebesar-besar zarah. Dari tidak tahu menyesut, sehingga mampu menyesut, kemudian merangkak dan mampu berdiri dan bertatih perlahan-lahan. Sehingga hari ini kita mampu berjalan 'catwalk' dan berlari dengan sendiri. Alhamdulillah.
DI AJAR MENGENAL SANG PENCIPTA DIAWAL USIA |
Apabila usia menigkat 5 tahun, hidup kita ditambah dengan bilangan murabbi. Terima kasih cikgu-cikgu Pasti Siswa, Johor. Saya ingat lagi betapa seronoknya saya hendak ke sekolah. Emak pun ada cerita yang saya tidak liat untuk ke sekolah. Alhamdulliah kurang beban mak. Cantik suasana Pasti dahulu. Belajar ا ب ث ABC 123. Makan keliling talam ramai-ramai, apabila tidak cukup akan ada yang sukarela pergi menambah. Apabila tengok kembali rekod pencapaian dahulu, sejuk mata memandang. Majoriti semua subjek markah 100%. Tetapi apabila meningkat dewasa barulah mengerti apa iitu ilmu. Belajar tidak akan pernah berhenti walaupun semakin sukar tahapnya.
Ilmu yang mudah dicedok lagi di Pasti al-Badar, Perak ketika berusia 6 tahun. Terima kasih cikgu-cikgu. Terkenang kembali saat belajar berlapikkan lantai kerana menggunakan meja Jepun ketika itu. Cikgulah yang mengajar, cikgu jugalah yang memasak di dapur. Di saat berkelahi sesama rakan, cikgulah tempat mengadu ketika itu. Sungguh keanak-anakan.
Apabila usia meningkat diri melonjak naik ke sekolah rendah. Ibubapa menghantar saya ke SK Simpang, Perak di sebelah pagi dan SAR Al-Hidayah,Perak di sebelah petangnya. Mengambil masa kira-kira 5 minit dari rumah. 5 tahun menimba pelbagai ilmu baru. Tidak terbalas jasa guru-guru yang telah membentuk anak bangsa ini. Terima kasih cikgu-cikgu. Walaupun anak muridmu ini sentiasa 'blur' tetapi cikgu-cikgu tetap mendidik dengan penuh kesabaran.
SMK Doktor Burhanuddin,Perak. Sekolah yang terakhir setakat ini. Hanya sekolah biasa tetapi cikgu-cikgunya sangat luar biasa. Melakar kenangan bersama-sama cikgu-cikgu yang luar biasa menjadikan kenangan itu juga indahnya luar biasa. Mungkinkah saya juga akan menjadi luar biasa satu hari nanti? InsyaAllah. Biiznillah. Terima kasih cikgu-cikgu yang superb osem.
Terfikir sejenak, siapalah saya tanpa murabbi sejak lahir. Mungkin saya tidak bisa berdiri di atas kaki sendiri sekarang. Siapalah saya tanpa ilmu. Mungkin lebih jahil dari makhluk yang tidak berakal. Bersyukurlah jika kita masih diberi kesempatan mencari ilmu. Jangan disebabkan ilmu kita sombong menongkah langit. Jadilah seperti resmi padi, semakin masak semakin tunduk ke bumi. Jangan lokek dengan ilmu yang kita ada.
Firman Allah Taala, maksudnya: "Sesungguhnya
orang-orang yang menyembunyikan apa yang telah Kami turunkan dari
keterangan-keterangan dan pertunjuk hidayat, sesudah Kami menerangkannya kepada
manusia di dalam kitab suci, mereka itu
dilaknat oleh Allah dan dilaknat oleh sekalian makhluk. "
(159, Surah
Al-Baqarah).
Takutkan dengan laknat Allah. Maka jangan lupa untuk kongsikan ilmu yang bermanfaat dengan orang-orang lain. Mungkin kita takut apa yang kita cuba sampaikan tidak terlekat dihati mad'u. Mungkin kita merasakan apa yang kita hendak sampaikan orang lain sudah lama mengetahuinya. Mungkin kita rasa tidak layak memberi peringatan kepada mereka yang 'alim.
Nasihat saya, jadilah seperti guru-guru kita. Mereka juga pernah digelar pelajar seperti kita. Masih bisa menyampaikan ilmu walaupun terkadang kita tidak menghargai ilmu yang mereka sampaikan. Kita berlagak tahu semua perkara padahal diri sangat cetek dengan ilmu. Saya juga seperti anda, merasa tidak layak untuk memberi, tetapi sampai bila kita hendak menerima?
عن أبي هريرة رضى الله عنه أن رسول الله صلى الله عليه وسلم قال : إذا مات ابن آدم انقطع عمله إلا من ثلاث: صدقة جارية أو علم ينتفع يه أو ولد صالح يدعو له
Maksud hadis :
Daripada Abu Hurairah Radhiallahu ‘Anhu katanya,, Rasulullah
SAW telah bersabda : Jika anak Adam meninggal, maka amalnya terputus kecuali
dari tiga perkara, sedekah jariyah (wakaf), ilmu yang bermanfaat, dan anak
soleh yang berdoa kepadanya.'' (HR Muslim).
Tanpa CIKGU mungkin kita tidak bisa mengenal Allah
Tanpa CIKGU mungkin kita tidak bisa mengenal diri sendiri
Tanpa CIKGU mungkin kita akan terus-terusan dalam kejahilan
Tanpa CIKGU mungkin kita bukan siapa-siapa di masa depan
TERIMA KASIH CIKGU !!!!
والله اعلم
No comments:
Post a Comment